Tuesday 31 December 2013

Selamat Datang 2014 :)





Ternyata detik dan waktu begitu pantas sekali berlalu. Tanpa sedar kini, insan-insan yang masih lagi diberi peluang untuk bernafas di muka bumi telah pun menjejakkan kaki ke tahun 2014. ada yang menamatkan tahun 2013 mereka dengan keluhan, rungutan dan tidak kurang juga, ada yang tidak putus-putus mengucapakan syukur kepada Allah SWT ata segala limpahan rahmat yang tidak terhitung. Jika difikir-fikirkan, adakah pada tirai-tirai penghidupan yang lalu, kita mampu dihimpunkan dalam golongan orang-orang yang beruntung, ataukah sebaliknya?

Jika 2013 mencatatkan kenangan pahit yang sukar untuk dikikis dalam ruang ingatan, tersenyumlah! Katakan pada diri anda bahawasanya kekalahan tersebut bukanlah suatu kesakitan atau bala, bahkan rahmat untuk anda. Katakan pada diri anda bahawa Allah telah mensisipkan hikmah yang mana, hanya anda yang mampu melihat dan mencarinya. Jika pada detik 2012 yang lalu, memoriku lebih banyak mencoretkan peristiwa-peristiwa yang melukakan, namun setinggi-tinggi syukur ke hadrat-Nya, detik 2013 adalah sesuatu yang paling manis dan bermakna untukku. 2013 aku diuji, namun kemudiannya aku sedar betapa manisnya kebangkitan selepas tertewas. Sedarlah bahawa hidup bukanlah tentang berapa kali kita jatuh namun, berapa kali kita mampu bangkit saat jatuh, tersungkur dan tertewas. Nikmat kemanisan sebaik sahaja berjaya bangkit adalah jauh lebih indah, dan rasanya langsung sukar dimengerti berbanding kepedihan tika tertewas. dalam erti kata lain yang lebih mudah, luka ketika jatuh hanyalah secuit tetapi, keindahan selepasnya, tidak mampu digambarkan bahkan dengan untaian kata-kata yang paling indah.

Oleh itu, moga sahaja tirai 2014 mencoretkan lebih banyak kenangan manis dan indah dengan sentiasa berpositif. Allah tidak pernah walau sesaat meninggalkan makhluk-Nya tapi, kita yang kufur nikmat seringkali meninggalkan-Nya. Ingatilah Dia ketika senang maka Dia akan mengingati kita saat kita susah :)