Monday 31 December 2012

Tirai 2013 Untukku



      Tahun 2012 sudah pun menutup tirainya beberapa jam sebentar tadi. Waktu itu sudah pun berlalu. Tatkala ini, hujan di luar seakan-akan membisikkan satu suara ketenangan yang berlagu perlahan tatkala titis-titisnya menitis ke bumi.  Tahun 2013 yang menjengah, moga hadirnya bisa menjadi satu lagi sandaran yang kukuh, tidak serapuh hari-hari semalam yang suram disinari cahaya kelam.

        Esok adalah satu kepastian namun, belum tentu esok akan menjadi milik kita. Andai ditakdirkan nafas ini berakhir sebelum sempat sekali lagi diri ini bisa menatap indahnya fatamorgana ciptaan-Mu  Tuhan, moga perginya diri ini dalam tautan rahmat yang takkan bisa ada penghujungnya. Ya Tuhan, ketakutan itu terus memburu diri ini, lantas, apa yang ku pohonkan hanyalah luasnya keampunan dari-Mu. Ya Tuhan, pemilik setiap nafas yang terhembus dalam keresahan yang panjang, turunlah rahmat-Mu kepada kami, insan-insan hina dan naïf yang mengharap belas dan kasih-Mu, Ya Allah.

       Langit kelam, gelap dan titisan-tisan hujan masih lagi gugur. Andai sinar mentari terlindung di balik redupan awanan, singkaplah tirai kesuraman agar bisa ku tatap cahaya itu lagi.

       2013, penaku laju menari, menggores tinta-tinta untuk tatapanmu. ‘Pengemis Cinta’ dan ‘Ekuinoks Cinta’, In Shaa Allah, akan mampu disiapkan sebelum penghujung tahun ini. :) In Shaa Allah. <3

Friday 28 December 2012

Hukum Cinta


       Hukum Cinta! Sentiasa cuba untuk mengerti akan satu perkara, tidak semestinya orang yang kita sukai perlu menyukai kita semula sebagai balasan. Tiada hukum yang mengatakan sedemikian. Tiada sifir atau formula di atas dunia ini yang dengan menegaskan bahawa tatkala kita menyukai seseorang, orang itu juga perlu menyukai kita semula.
      Ini kata-kata dari seorang sahabat yang saya sisipkan kemas dalam kotak fikiran saya ini. Saat itu saya termenung sendirian, buntu memikirkan satu perkara yang membelenggu fikiran saya.

"Orang betul-betul suka kawan dengan dia,pia. Orang tak tahu nak buat apa lagi dah. Yup, orang tahu orang salah tapi, kenapa pia?"

"Feza, tak ada hukum atas dunia ni yang cakap kalau kita suka kawan dengan seseorang, seseorang tu juga kena suka kawan dengan kita. Feza dah cuba buat semua benda kan? Dah, cukuplah tu." 
"Tapi.."
"Tak ada tapi-tapi lagi dah Feza.."

         Bila difikirkan kembali, ada betulnya kata-kata si sahabat ini, Sofea Adiba. Hati milik Allah. Hati manusia Allah yang pegang. Mandat yang telah Allah titipkan untuk dijaga dan diuruskan dengan sebaik-baiknya. Kejadian hati itu unik. Lantas, siapa kita untuk menyoal? Allah hanya memberikan apa yang terbaik buat hamba-hambanya di dunia ini. Adat dunia, ada yang suka dan ada pula yang membenci. Ada yang memuji, ada pula yang mengeji. Itu adalah sebahagian ujian bergelar khalifah di muka bumi. Ujian itu pula adalah sunnah yang telah pun ditetapkan oleh Allah S.W.T untuk menguji hamba-hambanya. Siapa di antara kita yang paling tinggi imannya. Sabar, syukur, taat, redha dan serahkan segala urusan hidup pada-Nya. Benar, tiada siapa yang memahami hati anda, tapi, Allah kan ada? *senyum*

Thursday 27 December 2012

Hidup


 Hidup, bukan mudah untuk mentafsirkan erti hidup pada erti kata yang sebenar-benar. Apa yang pasti, setiap dari kita berbeza. Perjalanan yang telah diatur untuk kita juga nyata berbeza. Kata orang, hidup adalah tentang sebuah pilihan. Pilihan yang pada penghujungnya bakal menentukan sebuah kesudahan. Kesudahan yang masih belum diketahui suratannya, apakah bahagia atau derita yang bakal menemani.

      Kadang kita menangis, kadang pula tertawa. Lengkap bak satu putaran roda yang kadangkala berada di atas, kadang pula di bawah. Apapun, sentiasa pegang kata-kata ini dalam diri sendiri, Syafeza Sauli, janganlah apa yang berlaku pada hari ini merubah prinsip dan pegangan tetapi, biarkan apa yang berlaku pada hari ini terus berlalu. Lambat-laun, semuanya akan hilang jua ditelan masa. Jangan sampai ia terlalu memberi kesan kerana perjalanan hidup masih perlu diteruskan. Perjuangan masih belum selesai. Mujahadah menuntut kesabaran! Itu yang pasti. Setiap manusia berbuat khilaf tapi, hidup bukan tentang berapa kali kita jatuh malahan hidup adalah tentang berapa kali kita mampu bangkit setelah berulang-ulang kali jatuh.

     Ingat ini selalu, umpamakan hidup bak sekuntum bunga sakura, yang hanya hidup selama seminggu dalam setahun. Sebelum gugur ke tanah, sebelum layu tidak berguna, manfaatkan masa yang ada. Detik terus berlalu. Berlari sambil tersenyum memandang hamba-hamba dunia yang hanyut dengan keasyikan mengejar sesuatu yang tidak pasti. Andai semalam bukan milik kita, bangkitlah dan perjuangkan hari esok. Manusia yang hidup tanpa prinsip umpama buih-buih di lautan. Bila-bila masa sahaja akan pecah. Andai hidup adalah benar tentang sebuah pilihan, pilihlah apa-apa yang menjanjikan kebaikan. Tidak mengapa andai tersalah memilih. Selagi mana hati tulus mencari kebenaran, kebenaran lambat-laun akan muncul jua. Tatkala itu, jangan pula tersasar untuk kali yang kedua. Buat pilihan sebaik-baiknya.

      Sebelum nafas ini berhenti, mata ini tertutp rapat, berusahalah memperjuangkan prinsip hidupmu. Tanamkan dalam hati, jangan pernah jauh dari Al-Quran dan As-Sunnah atau dunia akan terus mempermain-mainkan hidupmu tanpa belas.