Thursday 17 January 2013

Berubahlah

    
#You Are Who You Think You Are
          "Apa yang kita fikirkan, apa yang kita rasakan,apa yang kita cakapkan dan apa yang kita lakukan adalah doa." (Dr. Azizan Osman, Berani 2013)
Hidup adalah satu dimensi untuk kita mencorakkan skrip kehidupan kita sendiri, dengan syarat kita berjaya mengawal minda separa sedar kita supaya berfikir dan bertindak selari dengan apa-apa yang kita inginkan. Letakkan seluruh pemikiran pada titik fokus dan bayangkan kejayaan yang anda inginkan, dengan izin Allah, tidak mustahil satu hari nanti anda akan berjaya merealisasikan khayalan anda tersebut.
      Michael J. Loiser dalam bukunya Law Of Attarction menyatakan, “ Segala perkara-perkara yang kita fikirkan dengan sepenuh perhatian, tenaga, fikiran, sama ada positif atau negatif akan datang dalam kehidupan kita, itulah definisi hukum tarikan. Ia juga bersesuaian dengan apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW bahawa, antara waktu doa yang paling mustajab dan diterima adalah ketika bersujud di sepertiga malam, kerana pada waktu itu, seluruh fikiran kita hanya akan tertumpu pada Allah SWT. Jika dikfikirkan secara logik akal, manusia akan sedar hikmat Allah menganjurkan solat tahajjud pada waktu malam sebagai satu cabang cara untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
         Berbicara kembali tentang Hukum Tarikan, tidak hairanlah manusia yang dalam dirinya hanya dipenuhi dengan tenaga-tenaga bercas negatif hanya akan menarik pelbagai perkara negatif dalam hidupnya seperti masalah, kebencian, keresahan dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, latih minda dan diri anda untuk sentiasa bersangka baik, elakkan merungut, sentiasa bersyukur dan berterima kasih. Penuhi hati anda dengan apa-apa yang positif untuk membangkitkan aura positif. Lazimnya, aura negatif dan positif begitu mudah terlihat pada wajah seseorang. Orang yang positif akan menampakkan ketenangan, kematangan, dan keluhuran pada raut wajahnya dan begitu juga sebaliknya. Tambahan pula, ini adalah salah satu alternatif untuk kekal awet muda. 
       Firman Allah S.W.T dalam satu hadis qudsi, "Aku adalah apa yang hamba Aku sangkakan, dan Aku akan bersamanya selama dia mengingatiku." Saudara saudari sekalian, berfikirlah sejenak, apakah kalian mengira kejayaan akan hadir dalam hidup kalian seandainya kalian berfikir tentang kegagalan. Pemikirn ke arah kegagalan seterusnya akan menjurus perasaan dan perbuatan untuk melakukan apa-apa yang dilakukan oleh orang-orang yang gagal.
   Paling penting, ingat satu perkara, orang yang belayar tanpa tujuan arah, akhirnya tidak akan ke mana-mana. Dia akan belayar mengikut arah angin ke kiri dan kanan, kemudian,buntu dan menyesal. Oleh hal yang demikian, tentukan dan letak matlamat hidup anda hari ini dan ingatlah, matlamat hidup hanyalah untuk mencari keredhaan Allah untuk kehidupan di akhirat kelak. Hidup di dunia hanyalah sementara, saat-saat bahagia nyata akan berlalu jadi, jangan pernah tertipu akannya.Buka mata. Buka minda. Fikir-fikirkanlah. 





No comments:

Post a Comment