Thursday 27 December 2012

Hidup


 Hidup, bukan mudah untuk mentafsirkan erti hidup pada erti kata yang sebenar-benar. Apa yang pasti, setiap dari kita berbeza. Perjalanan yang telah diatur untuk kita juga nyata berbeza. Kata orang, hidup adalah tentang sebuah pilihan. Pilihan yang pada penghujungnya bakal menentukan sebuah kesudahan. Kesudahan yang masih belum diketahui suratannya, apakah bahagia atau derita yang bakal menemani.

      Kadang kita menangis, kadang pula tertawa. Lengkap bak satu putaran roda yang kadangkala berada di atas, kadang pula di bawah. Apapun, sentiasa pegang kata-kata ini dalam diri sendiri, Syafeza Sauli, janganlah apa yang berlaku pada hari ini merubah prinsip dan pegangan tetapi, biarkan apa yang berlaku pada hari ini terus berlalu. Lambat-laun, semuanya akan hilang jua ditelan masa. Jangan sampai ia terlalu memberi kesan kerana perjalanan hidup masih perlu diteruskan. Perjuangan masih belum selesai. Mujahadah menuntut kesabaran! Itu yang pasti. Setiap manusia berbuat khilaf tapi, hidup bukan tentang berapa kali kita jatuh malahan hidup adalah tentang berapa kali kita mampu bangkit setelah berulang-ulang kali jatuh.

     Ingat ini selalu, umpamakan hidup bak sekuntum bunga sakura, yang hanya hidup selama seminggu dalam setahun. Sebelum gugur ke tanah, sebelum layu tidak berguna, manfaatkan masa yang ada. Detik terus berlalu. Berlari sambil tersenyum memandang hamba-hamba dunia yang hanyut dengan keasyikan mengejar sesuatu yang tidak pasti. Andai semalam bukan milik kita, bangkitlah dan perjuangkan hari esok. Manusia yang hidup tanpa prinsip umpama buih-buih di lautan. Bila-bila masa sahaja akan pecah. Andai hidup adalah benar tentang sebuah pilihan, pilihlah apa-apa yang menjanjikan kebaikan. Tidak mengapa andai tersalah memilih. Selagi mana hati tulus mencari kebenaran, kebenaran lambat-laun akan muncul jua. Tatkala itu, jangan pula tersasar untuk kali yang kedua. Buat pilihan sebaik-baiknya.

      Sebelum nafas ini berhenti, mata ini tertutp rapat, berusahalah memperjuangkan prinsip hidupmu. Tanamkan dalam hati, jangan pernah jauh dari Al-Quran dan As-Sunnah atau dunia akan terus mempermain-mainkan hidupmu tanpa belas.


1 comment:

  1. Saya suka blog awak. - Eliyyah

    "...hidup bak sekuntum bunga sakura, yang hanya hidup selama seminggu dalam setahun. Sebelum gugur ke tanah, sebelum layu tidak berguna, manfaatkan masa yang ada."

    ReplyDelete